RASULULLAH s.a.w. mengajar umatnya beberapa adab yang
perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu adalah:
A. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w.
Ibnu Umar berkata: Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w. akan
membaca doa yang bermaksud, Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah
basah dan semoga tetaplah beroleh pahala. (Riwayat Abu Dawud dalam Sunan Abu
Dawud, Kitab al-Shaum, hadis no. 2010)
Abdullah Ibnu Umar berkata, Apabila berbuka puasa bacalah,
Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar
engkau mengampunkan aku. (Riwayat Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Shiyam,
hadis no. 1743)
Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa
sahaja yang dihajati kerana antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa
adalah ketika berbuka puasa.
Sabda Rasulullah s.a.w., Sesungguhnya doa yang tidak
ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka. (Riwayat Ibn Majah
dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Shiyam, hadis no. 1743)
B. Menyegerakan berbuka puasa
Disunatkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu
paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan
berbuka daripada sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadat lain kerana
perintah Nabi s.a.w. dalam sabdanya bermaksud: Manusia akan sentiasa berada
dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat al-Bukhari
dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1957)
Dalam sebuah hadis qudsi, Allah s.w.t. berfirman yang
bermaksud: Sebaik-baik hamba-Ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang
menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab
al-Shaum, hadis no. 636)
C. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air
Rutab ialah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia
lembut dan manis. Tamar pula ialah buah kurma yang telah dikeringkan
sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar
atau air merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w..
Anas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w. berbuka
puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan
berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk
air. (Riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no.
632)
D. Bersegera mengerjakan solat Maghrib
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w. juga
menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun,
sekiranya makan malam telah terhidang, disunatkan menjamah makan malam terlebih
dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah
mengerjakan solat Maghrib.
Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang dihidangkan
makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah
seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai
dalam keadaan tenang. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan,
hadis no. 674)
Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Syarh Sahih Muslim,
jilid 4, muka surat 208: Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat
apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu
hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (Rujuk Menelan Air Liur Tidak
Membatalkan Puasa, Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 78)
E. Berbuka puasa secara sederhana
Firman Allah yang bermaksud: Wahai Bani Adam! Pakailah
pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan
solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah
tidak suka orang-orang yang melampaui batas. (al-A’raaf: 31)
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa janganlah waktu
berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk
tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan
melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika
berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan.
Sabda Nabi s.a.w., Anak Adam itu tidak memenuhi suatu
bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa
suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya
tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu
pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. (Riwayat al-Tirmizi
dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Zuhud, hadis no. 2302)
F. Menjamu makanan untuk berbuka bagi orang berpuasa
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis
berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutama kepada
orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah.
Firman Allah yang bermaksud: Mereka juga memberi makan
sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim
dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi
makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan
sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih. (al-Insaan: 8 dan 9)
Menjamu makan untuk berbuka puasa dijanjikan dengan
ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai orang yang dijamu makan, semakin
tinggilah jumlah gandaan pahalanya.
Sabda baginda s.a.w., Sesiapa yang menjamu makanan untuk
berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang
berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.
(Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no. 735)
- Mohd. Yaakub Mohd. Yunus ialah Timbalan Presiden
Bahagian Perbankan Perusahaan Affin Bank B